LINUS


PENGENALAN

National Key Result Areas (NKRA’s) Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyasarkan bahawa semua murid berkeupayaan untuk menguasai literasi dan numerasi kecuali murid berkeperluan khas selepas tiga tahun mengikuti pendidikan di sekolah rendah.

Kementerian Pelajaran Malaysia menyedari bahawa masih ada murid sekolah rendah yang belum menguasai literasi dan numerasi. Ketidakupayaan murid untuk menguasai literasi dan numerasi mungkin disebabkan mereka kurang peluang dan tiada pendedahan untuk menguasai kemahiran tersebut sebelum mengikuti pendidikan formal. Oleh sebab itu, Kementerian Pelajaran Malaysia merancang untuk mengatasi masalah tersebut melalui program Literasi dan Numerasi (Program LINUS). 

Dalam melaksanakan program ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menghasilkan modul pengajaran dan pembelajaran berasaskan beberapa konsep untuk membolehkan murid menguasai literasi dan numerasi. Konsep yang diambil kira ialah pendekatan literasi dan numerasi secara masteri, ansur maju, didik hibur dan penggabungjalinan. Konsep tersebut dizahirkan dalam modul pengajaran dan pembelajaran.  Modul ini dihasilkan untuk membantu guru melaksanakannya bagi membolehkan murid menguasai  literasi dan numerasi. 

Modul ini memuatkan beberapa maklumat berhubung dengan senarai kemahiran yang perlu diajar serta cadangan aktiviti dan latihan. Modul ini boleh diguna pakai sebagai pencetus idea. Namun begitu, guru juga boleh mengubah suai dan mengembangkan lagi aktiviti dan latihan yang dicadangkan.  

Kementerian Pelajaran Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada guru, pensyarah institusi pendidikan guru dan wakil bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia yang terlibat  menyumbangkan idea dan kepakaran untuk menghasilkan modul ini.





1.0     DEFINISI  NUMERASI 

Numerasi didefinisikan sebagai kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian. 


2.0     MATLAMAT

Matlamat program ini adalah untuk memastikan semua murid yang mengikuti program LINUS berkeupayaan untuk menguasai numerasi kecuali murid berkeperluan khas selepas tiga tahun mengikuti program LINUS. 


3.0     OBJEKTIF

Objektif Program Numerasi adalah memastikan murid berupaya:
i.               menyebut, menulis, membilang, menyusun, menentukan nilai digit dan tempat bagi nombor hingga 1000
ii.             menguasai fakta asas tambah
iii.            menguasai fakta asas tolak
iv.          menguasai fakta asas darab
v.            menguasai fakta asas bahagi
vi.          mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik yang mudah dalam wang, menyatakan masa dan waktu serta bentuk tiga dimensi dan bentuk dua dimensi.


4.0     ORGANISASI KANDUNGAN

Modul guru program LINUS ini dihasilkan mengikut unit. Terdapat sepuluh unit dan bagi setiap unit mengandungi beberapa kemahiran yang merangkumi nombor bulat hingga 20, tambah dan tolak dalam lingkungan 18, wang hingga RM10, pengenalan masa dan waktu, bentuk tiga dimensi dan bentuk dua dimensi.

Pendekatan yang digunakan dalam program LINUS ini ialah pendekatan numerasi secara masteri, ansur maju, didik hibur dan penggabungjalinan.
Kandungan Kemahiran Numerasi Tahun 1

1.         Nombor Bulat Hingga 10       
2.         Nombor Bulat Hingga 20
3.         Tambah Dalam Lingkungan 10
4.         Tambah Dalam Lingkungan 18
5.         Tolak Dalam Lingkungan 10
6.         Tolak Dalam Lingkungan 18
7.         Wang Hingga RM10
8.         Pengenalan Masa Dan Waktu        
9.         Bentuk Tiga Dimensi (Bentuk 3D)      
10.    Bentuk Dua Dimensi (Bentuk 2D)     


Hasil Pembelajaran Tahun 1

Pada akhir Tahun 1 murid berupaya:
1.            Menyatakan nombor, 0 hingga 20.
2.            Mengenal pasti angka, 0 hingga 20.
3.            Membilang objek dalam kumpulan, 1 hingga 20.
4.            Menulis angka, 0 hingga 20.
5.            Membaca nombor dalam perkataan, 'sifar' hingga 'dua puluh'.
6.            Menulis nombor dalam perkataan, 'sifar' hingga 'dua puluh'.
7.            Menyebut nombor 0 dan 10.
8.            Mengenal pasti angka '0' dan '10' dalam membilang.
9.            Menulis angka '0' dan '10'.
10.       Menyusun nombor, 0 hingga 20:
a)       membilang satu-satu secara tertib menaik.
b)       membilang satu-satu secara tertib menurun.
c)       membilang daripada sebarang nombor secara tertib menaik.
d)       membilang daripada sebarang nombor secara tertib menurun.
11.       Membandingkan dua nombor dan menyatakan yang mana lebih atau kurang.
12.       Menentukan lebih satu atau kurang satu daripada suatu nombor.
13.       Menyatakan nilai setiap digit dalam satu nombor.
14.       Menyatakan jumlah bagi dua nombor.
15.       Menulis ayat matematik bagi operasi tambah.
16.       Menyatakan pasangan nombor yang menghasilkan jawapan yang sama.
17.       Menyatakan secara spontan jumlah dua nombor.
18.       Menyatakan secara spontan fakta asas tambah.
19.       Menyelesaikan masalah harian yang mudah.
20.       Mencari beza antara dua nombor.
21.       Menulis ayat matematik bagi operasi tolak.
22.       Menyatakan secara spontan fakta asas tolak.
23.       Menyatakan pasangan nombor yang mungkin, di mana apabila ditolak memberi baki yang sama.
24.       Menyatakan secara spontan beza antara dua nombor.
25.       Mengenal pasti mata wang Malaysia dalam bentuk wang syiling dan wang kertas.
26.       Mewakilkan nilai wang bagi ‘RM’ and 'sen'.
27.       Menukarkan:
a)    duit syiling sehingga RM1.
b)    wang kertas sehingga RM10.
28.       Menambah dan menolak:
a)    duit syiling sehingga RM1.
b)    wang kertas sehingga RM10.
29.       Menyelesaikan masalah harian yang mudah berkaitan wang.
30.       Menyatakan bahagian-bahagian dalam sehari dengan betul.
31.       Menyebut aktiviti mengikut bahagian-bahagian hari.
32.       Menamakan hari dalam seminggu mengikut urutan.
33.       Menamakan bulan dalam setahun mengikut urutan.
34.       Menyatakan waktu dalam jam pada muka jam.
35.       Mengenal dan menamakan bentuk tiga dimensi.
36.       Menyatakan ciri-ciri bagi bentuk tiga dimensi.
37.       Mengkelaskan bentuk tiga dimensi.
38.       Membina model.
39.       Mengenal dan menamakan bentuk dua dimensi.
40.       Menyatakan ciri-ciri bagi bentuk dua dimensi.
41.       Mengkelaskan bentuk dua dimensi.
42.       Menghasilkan rekaan dengan bentuk dua dimensi.




5.0   PENDEKATAN NUMERASI DALAM PEMBINAAN MODUL

Disarankan guru melaksanakan pengajaran dengan menekankan pendekatan yang dicadangkan.

a.        Pendekatan numerasi secara masteri – Pastikan bahawa murid mempunyai pengetahuan asas yang kukuh sebelum memperkenalkan kemahiran yang baru. Murid yang belum dapat menguasai sesuatu kemahiran perlu diajar semula, khusus untuk memperbetulkan ketidakfahaman mereka. Walau bagaimanapun, pengajaran semula ini harus menggunakan strategi yang berbeza dari pengajaran sebelumnya.

b.        Pendekatan ansur maju (berperingkat) – Perkenalkan konsep matematik bermula daripada perkara yang senang kepada yang susah, daripada yang konkrit kepada abstrak, dan daripada kontekstual kepada konstruktif.

c.        Pendekatan didik hibur – Perlu diingat murid yang mengikuti program ini adalah murid yang perlukan perhatian yang lebih khusus. Bagi membolehkan mereka berminat dalam pembelajaran, aktiviti yang disampaikan perlu menggunakan pendekatan yang menarik, melalui cara penyampaian yang paling berkesan. Konsep didik hibur melalui nyanyian, permainan dan penggunaan bahan manipulatif yang menarik disarankan untuk diaplikasi dalam pengajaran.

d.        Pendekatan penggabung jalinan kemahiran – Guru perlu menggabungjalinkan suatu kemahiran dengan kemahiran yang lain mengikut kesesuaian. Sebagai contoh, operasi tolak (melalui pengasingan atau pengurangan) boleh diajar sebagai songsangan kepada operasi tambah (penggabungan).  Begitu juga dalam tajuk ’Wang Hingga RM10’ di mana kedua-dua kemahiran tersebut harus diaplikasi.

No comments:

Post a Comment