Monday 21 November 2011

PENGURUSAN KELAS PEMULIHAN KHAS


PENGENALAN

Dalam  pemulihan khas, bilik / kelas  merupakan satu daripada keperluan asas yang utama yang perlu disediakan kerana mengikut konsep pemulihan khas.
Murid-murid yang ketinggalan / lemah dalam pelajaran di kelas biasanya akan dibawa keluar dari kelas dan dimasukkan ke bilik yang disediakan khas untuk pengajaran dan pembelajaran pemulihan. Dengan yang demikian dalam menentukan bilik / kelas yang sesuai dan paling ideal, beberapa ciri / keperluan berikut perlu diambil kira.

TUJUAN

1.         Masa, tenaga dan alat-alat pengajaran dapat digunakan dengan sebaik-baiknya   
            untuk mencapai objektif pengajaran.

2.         Dapat menggunakan kemudahan yang terdapat dalam kelas dengan berkesan.

3.         Dapat mengadakan suasana pembelajaran yang menggalakkan.



CARA UNTUK MENGADAKAN KELAS PEMULIHAN

Disyorkan 3 alternatif seperti berikut :
                                   
1.         Sekolah-sekolah yang mempunyai 2 kelas atau lebih bagi sesuatu darjah , murid-murid untuk kelas pemulihan bolehlah diambil dari kelas-kelas tersebut sekiranya bilangan murid pemulihan dalam sesuatu kelas itu hanya  3  atau  4  orang sahaja.
Walau bagaimanapun jumlah murid dalam satu sesi pemulihan hendaklah tidak melebihi 15 orang.

2.         Sekolah-sekolah yang mempunyai satu kelas bagi satu darjah, murid-murid untuk kelas pemulihan bolehlah diambil dari darjah-darjah lain tetapi jumlahnya hendaklah tidak melebihi 15 orang.

3.         Sekiranya murid-murid yang diambil untuk mengikuti kelas pemulihan datangnya dari satu kelas sahaja, maka bilangannya hendaklah tidak melebihi 6 orang. Pemilihan mana-mana satu alternatif hendaklah tertakluk kepada perundingan di antara Guru Pemulihan Khas dengan guru besar dan guru-guru asas.


BILIK  /  KELAS

a )  Lokasi bilik / kelas untuk dijadikan Kelas Pemulihan Khas adalah sangat bergantung
      kepada keadaan kemudahan yang sedia ada serta kemampuan di sesebuah  
      sekolah. Tetapi dengan menyedari ciri-ciri kanak-kanak pemulihan, kelas-kelas lain  
      kantin, atau padang-padang permainan boleh digunakan supaya aktiviti  yang   
      berlaku di  tempat – tempat tersebut tidak akan mengganggu sesi pengajaran
      pemulihan.

b)  Kesesuaian seperti juga kelas-kelas biasa yang lain perlu diambil kira dari segi  
     keselesaan ruang dengan bilangan murid, cahaya serta edaran udara yang
     mencukupi, kerusi  dan meja serta saiz dan susunan fizikalnya yang selaras dengan
     ukuran dan bilangan murid-murid yang terlibat.

c) Penyusunan perabot, papan tulis, papan pameran dan tempat – tempat  
    penyimpanan perlu diubah suai sebagai dorongan kearah pengajaran yang  
    menyeronokkan dan yang berkesan, sesuai dengan matlamat menuju ke   
    pengkhususan 2M di sekolah rendah ( rujuk lampiran A ) Prinsip – prinsip yang terjalin    
    dan dipraktikkan dalam penyusunan kelas seperti ini ialah suasana fizikalnya, sosial,  
    emosi dan rasa hati yang selesa dan gembira untuk murid-murid : bidang dinamik  
    kumpulan yang menyokong pembelajaran atau tugasan yang diberikan : dan  
    penyusunan perabot yang membantu rutin pengurusan.


PENTADBIRAN KELAS

Bagi mentadbirkan sesebuah kelas Pemulihan Khas, Guru Pemulihan Khas hendaklah menyediakan beberapa keperluan lain yang semestinya ada dalam kelas pemulihan khas.

Di antaranya ialah :

  1. Jadual waktu kelas / persendirian

  1. Carta alir Program  Pemulihan Khas.

      3    Carta Pencapaian Murid Pemulihan Khas.

  1. Senarai Nama Murid Pemulihan Khas.

  1. Takwim

  1. Carta Organisasi

  1. Bahan Bantu Mengajar

  1. Fail-fail

  1. Sudut-sudut Pembelajaran

Wednesday 16 November 2011

KONSEP DAN DASAR SERTA PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN PEMULIHAN KHAS

PENGENALAN

Pendidikan peringkat rendah ialah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan falsafah pendidikan negara.  Penguasaan kemahiran asas membaca dan  menulis (2M) perlu dikuasai di peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan. Justeru, Program Pemulihan Khas mengutamakan prinsip ‘Menyelesaikan masalah seawal mungkin’ supaya tidak menjadi kronik berterusan hingga ke tahap 2 atau peringkat persekolahan menengah rendah.

Perbezaan minat, pengalaman, bakat, dan gaya belajar individu mengakibatkan mereka lebih lambat atau ‘terkebelakang’ dalam menguasai kemahiran berbanding rakan sebaya. Sekiranya mereka tidak diberi ’pendidikan perlu’, potensi mereka akan tenggelam.  Justeru, Program Pemulihan Khas dapat mengenalpasti keperluan-keperluan murid berpencapaian rendah.


FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,  emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

LATAR BELAKANG

1967 – Kementerian Pelajaran telah melaksanakan program pemulihan dengan menggunakan strategi “ Withdrawal System….”

1975 – Pusat Perkembangan Kurikulum menjalankan projek percubaan “ Pendidikan Imbuhan “ bagi Tahap 1 (Tahun 1 hingga Tahun 3 ) dengan menggunakan strategi di mana pemulihan dijalankan oleh guru kelas/ guru mata pelajaran.

1994 – Program Khidmat Guru Pendamping bagi meningkatkan aktiviti pengayaan dan pemulihan dalam kelas KBSR.

1999 – Program jangka pendek (INTERVENSI 3M ) diperkenalkan khas untuk murid tahun 4 di sekolah rendah dan Tingkatan 1/ peralihan. Instrumen IPCH digunakan bagi menilai pencapaian kemahiran asas 3 M. Program bermula 1999 hingga 2002.

2000 – Program IPP3M dilancarkan iaitu program jangka panjang bagi mengatasi penguasaan kemahiran asas 3 M bagi murid tahap 1 di sekolah rendah ( Tahun 1 hingga Tahun 3 ).  Program IPP3M dilancarkan bersama satu pendekatan P&P secara 
“Pelbagai Kecerdasan “ ( Multiple Intelligences).

2006 – IPP2M (Instrumen Penentu Penguasaan 2M ) yang menekankan kepada Bahasa Melayu – membaca dan menulis dibina. 


KONSEP


·      Dalam proses Pendidikan , Pendidikan Pemulihan Khas ialah :

  “  Satu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid –murid yang menghadapi      kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira sebagai asas menjadi Fokus Kurikulum Baru Sekolah  Rendah” .


TAKRIFAN

AE Tanseley dan R. Culliford

“ kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah juga kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa, ”

M. F . Clough

“ kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang kurang daya taakul, kurang berkemampuan membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan dan kurang memahami tentang perkara yang agak abstrak. ”


Sharifah Rahman Ali

“ kanak-kanak yang gagal menerima pelajaran dan mereka ini berkemampuan mempunyai kecerdasan yang tinggi , yang sederhana dan di bawah paras sederhana . Kita tidak masukkan kategori kanak-kanak yang lemah (mentally retarded).”


DASAR

Mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan 1997.
( PERAKUAN 5)

“  Adalah diperlukan supaya perkara-perkara yang berkaitan dengan langkah mengadakan pengajaran pemulihan selepas daripada Ujian Rujukan Kriteria dijalankan, diteliti dan diperbaiki.  Antara lain perkara-perkara tersebut termasuklah mendalami kaedah dan pengajaran, bahan-bahan yang kecil, peruntu  kan bagi mengendalikan pengajaran pemulihan serta penggunaan bahan-bahan tertentu.”


OBJEKTIF

  • Membantu murid-murid mengatasi masalah pembelajaran dalam menguasai kemahiran asas -  membaca, menulis dan mengira.

  • Membantu murid-murid mengubah sikap negatif dan tingkah laku yang menjejaskan proses pembelajaran dan memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap  positif terhadap pembelajaran.


DASAR PELAKSANAAN

Surat Pekeliling Kementerian Pelajaran .
(yang masih digunapakai)

1:         Surat Pekeliling Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil. KP(BS)8594/Jld.11/(32)bth.  
22.Jan. 1985. (Guru Khas Pendidikan Pemulihan)

2:         Surat Pekeliling Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil.KP(BS)8502/5/PK/Jld.V(26) 
             bth.28.Jan.1986. (Kelas Khas Pemulihan Di Sekolah Rendah)

3:         Surat Pekeliling Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil.KP(BS)8502/PK/Jld. V(29)
bth.17.Mac.1986 (Pengawasan dan Penyeliaan Program pemulihan)

4:         Surat Pekeliling Bahagian Sekolah-sekolah KPM.Bil.KP(BS)8502/5/PK/Jld.V (34)
bth.30.Jun.1989. (Guru Khas Pemulihan Dan Penubuhan Kelas Khas Pemulihan Di Sekolah  Rendah)

PERJAWATAN GURU PEMULIHAN KHAS DI SEKOLAH RENDAH
1.    Semua sekolah rendah kecuali sekolah kecil ( under enrolment ) diperuntukan satu (1) perjawatan Guru Pemulihan Khas.
2.    Peruntukan Guru Pemulihan Khas tidak termasuk dalam perkiraan peruntukan guru asas ( n x 1.5 ).
3.    Guru Pemulihan Khas tidak terlibat sebagai guru pengganti kepada guru asas atau sebagai guru kelas.
4.    Guru Pemulihan Khas berkhidmat sepenuh masa melaksanakan program pendidikan pemulihan.
5.    Penutupan Kelas Pemulihan atau Pemberhentian program pendidikan pemulihan perlu mendapat kelulusan bertulis daripada Pengarah pendidikan Negeri.


PERUNTUKAN BANTUAN PELAJARAN TAHUNAN

1 .  Di bawah “  Bantuan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling “
      (Pekeliling Kewangan Bil:2/91 – KP1573/17/jld.8(78)bth.11 Feb.1991).
      Bertujuan untuk bimbingan pendidikan bagi membolehkan kanak-kanak menerima
      pendidikan yang sesuai dengan bakat, tahap kecerdasan dan kebolehannya.

2 . Di bawah bantuan Pelajaran Perkapita (PCG) bagi Matapelajaran wajib.


JAWATANKUASA PEMULIHAN KHAS
     
Sekolah perlu mewujudkan satu jawatankuasa pemulihan khas yang dipengerusikan oleh Guru Besar dan dianggotai oleh Guru Pemulihan Khas, Guru Kelas, Guru    matapelajaran dan penyelaras pusat sumber serta guru-guru yang berkaitan bagi memastikan Program Pemulihan Khas dapat dilaksanakan dengan berkesan. 

KEMUDAHAN FIZIKAL

Sebuah bilik khas perlu disediakan bagi menjalankan Program Pemulihan Khas. Kemudahan bilik darjah untuk program pemulihan adalah berdasarkan pendekatan
berikut:
               
v  Sekolah-sekolah yang dibekalkan dengan kemudahan sebuah bilik darjah      “ 3 bay “ Khusus untuk Kelas Pemulihan seperti dalam pelan asal dan surat penyerahan bangunan perlu dikekalkan sebagai “ Kelas Pemulihan Khas “
      
v  Jika tiada kemudahan seperti di atas hendaklah mengusahakan ruang sekurang-kurangnya 2 bay atau keluasan 2/3 keluasan bilik darjah biasa.